10 Pesanan Tony Fernandes Untuk Para Usahawan

Tony Fernandes

Suka atau tidak, Tan Sri Tony Fernandes telah buktikan semua orang boleh ‘terbang’. Jom hayati pesanan beliau kepada usahawan serta bakal usahawan di luar sana.

#1. Anda Tidak Perlu Tahu Kesemuanya

Saya datang daripada industri muzik dan tidak tahu apa-apa pun pasal kapal terbang. Kepada para usahawan, anda tidak perlu tahu segala-galanya. Ianya berbalik kepada idea, keghairahan dan bagaimana untuk melaksanakannya.

#2. Just Do It!

Bak kata kata-kata keramat daripada Nike, Just Do It! Anda hanya ada satu nyawa, jadi anda tidak boleh menekan butang rewind dan berkata “Saya harap saya telah berbuat sedemikian.”

Jadi saya sarankan kepada anda semua, buat je. Jalani kehidupan anda sepenuhnya, berfikiran positif. Jika anda gagal, sekurang-kurangnya anda telah mencuba.

Saya telah gagal di dalam Formula 1, tapi saya tidak mempunyai sebarang sesalan kerana dapat bersama-sama dengan ramai orang hebat daripada pasukan Ferrari, McLaren dan banyak lagi.

#3. Keghairahan Adalah Kunci

Impian memang akan jadi kenyataan. Jangan takut dengan kegagalan. Anda hanya ada satu nyawa, gunakan sebaik mungkin. 9 daripada 10 kali, jika anda mempunyai keghairahan dan keinginan, anda pasti akan jumpa jalan untuk menyelesaikannya.

#4. Melabur Dalam Pemasaran

Jika anda mempunyai idea terbaik di dalam dunia, tolong, tolong, tolonglah melabur di dalam pemasaran. Ini kerana jika anda tidak melabur di dalam pemasaran, tiada siapa akan dapat mendengar idea hebat anda.

Banyak idea hebat tidak berjaya kerana kurangnya pemasaran.

Pemasaran bukanlah tentang wang ringgit, tetapi ianya berkenaan Public Relations (PR). Di AirAsia, kami tiada wang. Jadi saya keluar berjalan dengan memakai topi warna merah dan bercakap pelbagai perkara kontroversi kepada media, supaya mereka akan mengambil gambar saya. Begitulah cara pemasaran di awal penubuhan AirAsia.

Kami telah melalui banyak isu, dan pemasaran telah memainkan peranan besar di dalam mengatasinya.

Masih ingat lagi dengan penyakit SARS (severe acute respiratory syndrome)? Pada masa itu, tiada siapa yang mahu terbang, kerana semua orang fikir mereka akan mati.

Semua orang memotong bajet untuk pengiklanan, tetapi saya beritahu orang-orang saya jangan potong bajet, sebaliknya ini merupakan masa terbaik untuk membina jenama kami. Malahan, kami menggandakan pengiklanan sebanyak 3 kali ganda dan semua orang lihat ke arah saya dan berkata, “You ni sedang berkhayal ke??” Saya cakap bukan, kerana ini adalah masa terbaik kerana orang lain tidak beriklan.

Apabila serangan bom di Bali berlaku, semua orang membatalkan penerbangan mereka. Saya berkata kepada orang-orang saya, kita tidak boleh biarkan laluan ke Bali mati. Kita kena teruskan penerbangan ke sana.

Jadi kami muncul dengan kempen Love Bali, berikan 10,000 tiket percuma, dan ia berkesan. Kesemua 10,000 tempat duduk ditempah dalam tempoh kurang daripada seminit. Dan kesemua mereka yang mendapat tiket tersebut telah bercerita dengan rakan-rakan mereka di media sosial. Pemasaran terbaik adalah melalui pelanggan anda.

#5. Guna Media Sosial

Apabila rakyat Malaysia mendapat tawaran yang menarik, mereka pasti akan bercerita ke seluruh dunia. 10,000 orang yang telah ke Bali dan berseronok di sana, beritahu pula 10,000 orang lain yang mereka menikmati masa terbaik di sana. Begitulah pada peringkat awal media sosial AirAsia.

Kami sedar betapa berkuasanya media sosial sejak dari awal lagi, kini kami mempunyai 32 juta orang menerusi pelbagai platform media sosial, dan 7% daripada perniagaan kami datang terus daripada media sosial.

#6. Jangan Takut Dengan Aduan

Aduan merupakan penyelidikan pasaran secara percuma. Seseorang mengambil masa dan tenaga untuk menulis kepada anda menceritakan apa yang tidak kena dan bagaimana ianya boleh diperbaiki. Ini merupakan perkara yang dilakukan kebanyakan syarikat dengan membayar perunding untuk memberitahu hal yang sama.

Jadi kami melayan setiap emel dengan penuh penghargaan.

#7. Fokus Kepada Imej Apabila Ianya Berkaitan Penjenamaan

Pada peringkat awal, terdapat perkataan ‘AirAsia’ dan logo seekor burung sebagai penjenamaan kami.

Jika anda melihat jenama-jenama terkemuka dunia, hanya satu imej yang datang ke dalam pemikiran. Apabila saya berkata “Shell”, anda akan terfikirkan logo Shell. Apabila saya berkata “Coca-Cola”, anda pasti terbayang perkataan ‘Coke’, dan apabila saya katakan “Nike”, anda akan terfikir akan swoosh.

Kembali kepada jenama AirAsia kami tadi, kami gugurkan burung tersebut – dan gunakan ‘AirAsia’ sebagai logo kami. Kenapa berbelanja 2 kali untuk mempromosikan 2 imej?

Kami juga menggugurkan warna biru dan hijau. Saya cuba untuk tidak guna warna merah, kerana semua orang fikir saya ingin jadi Richard Branson (Pengasas Kumpulan Virgin dan bos lama Tony), tetapi ianya warna yang terbaik, jadi kami memilih merah.

Ya, warna turut memainkan peranan besar.

#8. Turun Padang

Apa yang saya sering lakukan – tetapi kini tidak lagi, sekali sebulan, saya akan membawa beg, saya akan menjadi kru kabin, dan saya juga akan berada di kaunter pendaftaran.

Saya lakukan ini untuk 2 sebab. Pertama, saya tidak akan menjadi seorang CEO yang berkesan melainkan saya turun padang dan alami situasi sebenar.

Ini kisah benar. Pasukan pengurusan bagasi beritahu saya mereka memerlukan tali baru. Saya beritahu mereka, “Tidak, kita tidak boleh membelinya kerana terlalu mahal.”

Jadi pada satu hari, saya bertugas untuk membawa beg, dan mereka meletakkan saya di salah sebuah penerbangan ke Indonesia. Orang ramai yang terbang biasanya membawa rumah mereka bersama-sama, tetapi orang yang terbang ke Indonesia biasanya membawa rumah jiran mereka sekali!

Disebabkan banyaknya beg, saya telah cedera di bahagian belakang, dan beritahu pasukan saya yang mereka sebenarnya betul dan saya salah, jom kita beli tali baru.

Jika saya tidak turun padang dan duduk di kerusi empuk di dalam pejabat, saya akan membuat keputusan yang salah, merosakkan banyak beg, dan barangkali memulakan kesatuan pekerja yang baru.

Sebab kedua saya turun padang kerana saya mahu mencari bakat baru. Saya tidak melihat kepada bakat daripada Oxford atau Cambridge, saya mencari mereka yang memiliki kelulusan SPM gred 3 yang inginkan peluang kedua.

#9. Jangan Pandang Rendah Potensi Kakitangan

Saya melanggar semua peraturan berkenaan mengambil orang bekerja. Kepada saya, selagi anda mempunyai impian, anda boleh lakukan apa sahaja.

Terdapat seorang bekas kru kabin, beliau datang berjumpa saya dan memberitahu saya akan impiannya untuk menjadi juruterbang. Saya beritahunya untuk kejar impian tersebut.

Kemudian beliau hubungi saya pada suatu hari dan tanya jika beliau boleh mengambil bahagian di dalam pertandingan Ratu Cantik Thailand, saya kata OK, selagi saya boleh guna gambar beliau sebagai bahan pemasaran kami.

Beliau akhirnya memenangi Ratu Cantik Thailand dan baru-baru ini menjadi kapten, jadi kami satu-satunya syarikat penerbangan di dunia yang mempunyai Miss Thailand!

Aset terbesar anda, selain daripada idea, adalah kakitangan anda – kerana pada akhirnya, merekalah yang akan melaksanakan idea anda.

#10. Data Adalah Raja

Kami ada data yang sangat besar dan tidak tahu apa ingin dibuat dengannya, tetapi orang lain semua mahukan data kami. Jadi kami fikir, mesti ada sesuatu yang bernilai dan terdapat peluang di dalamnya.

Kami melabur di dalam banyak bidang baru. Kami bercadang untuk lancarkan TripAdvisor versi kami sendiri, sebuah dongle perjalanan, sejenis saluran baru YouTube dan banyak lagi. Di sinilah nanti data tersebut akan memainkan peranan yang besar.

 

Terjemahan dari artikel What’s Next: Tony’s Top 10 Tips for Entrepreneurs

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Abdul Wahid Terima Anugerah Saleh Kamel Untuk Ekonomi Islam Di Madinah

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar menerima Anugerah Saleh Kamel yang berprestij untuk Ekonomi Islam pada Simposium Ekonomi Islam AlBaraka ke-45 di Madinah.

Beliau adalah antara 10 perintis perbankan Islam menerima anugerah itu yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 pembangunan perbankan Islam.

Gabenor Wilayah Madinah Putera Salman bin Sultan bin Abdulaziz Al-Saud menyampaikan anugerah itu, menandakan satu peristiwa penting bagi mengiktiraf sumbangan selama berdeakad kepada kemajuan kewangan Islam.

Abdul Wahid menghadiri simposium itu pada 16 dan 17 April lepas sebagai moderator dan penceramah.

Beliau tidak menjangka untuk menerima pengiktirafan tersebut bagaimanapun menyifatkannya amat bermakna terutama sekali acara itu diadakan di kota suci Madinah.

“Saya berbesar hati dan rasa rendah diri dengan anugerah ini. Ini merupakan pengiktirafan bukan sahaja kepada kakitangan dalam pelbagai entiti perkhidmatan kewangan yang pernah saya kerja seperti Bursa Malaysia, Malayan Banking Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Amanah Capital Group Bhd dan Bumiputra Merchant Bankers Bhd tetapi juga untuk Malaysia dan pengawal selia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan seluruh sektor kewangan Islam.

“Malaysia sememangnya berada di barisan hadapan dalam pembangunan perbankan Islam, kewangan dan pasaran modal. Saya berharap anugerah ini akan terus memberi inspirasi kepada sektor berkenaan untuk meningkatkan dan berinovasi dalam menyokong dunia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anugerah Saleh Kamel untuk Ekonomi Islam ditubuhkan bertujuan memperingati sumbangan perintis Allahyarham Sheikh Saleh Kamel dan bagi mempromosikan kecemerlangan dalam penyelidikan.

Ia juga menyokong pengeluaran akademik khusus, menyerlahkan bakat baharu muncul dalam kewangan dan perundangan Islam serta mengembangkan pengaruh global dalam perbankan Islam.

— BERNAMA