Hyundai Bakal Labur RM2.16 Bilion Di Malaysia Menerusi Perkongsian Strategik Bersama INOKOM

SEOUL, 26 Nov (Bernama) — Hyundai Motor akan memulakan perkongsian strategik bersama INOKOM bagi pemasangan automotif beberapa model baharu di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion.

Pelaburan ini termasuk usaha menaik taraf kapasiti pemasangan INOKOM sedia ada bagi memenuhi keperluan automotif Hyundai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia merupakan pelaburan terbesar syarikat berkenaan di Malaysia untuk tempoh enam tahun (2025-2030) yang bakal menawarkan beratus peluang pekerjaan berteknologi dan bergaji tinggi kepada rakyat tempatan.

Katanya pelaburan itu membabitkan pemasangan dan pengeluaran sebanyak enam model kereta termasuk model HEV serta sebuah kilang pemasangan pek bateri EV di Kulim, Kedah. 

Tengku Zafrul berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan.

Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama beberapa konglomerat Korea Selatan termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO. 

Perdana Menteri dan delegasi tiba di Seoul pada Ahad untuk lawatan selama tiga hari bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.

Malaysia dan Korea Selatan bakal menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.

Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Korea Selatan.

— BERNAMA

Previous Article

Kanada Labur RM12.3 Juta Dalam CCOE, Perkukuh Kerjasama Keselamatan Siber Serantau


KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) — Kerajaan Kanada akan melabur sebanyak 3.9 juta dolar Kanada (RM12.3 juta) dalam Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Malaysia (CCOE) untuk mengukuhkan kerjasama dan kepakaran keselamatan siber di rantau ini melalui peluang latihan kemahiran termasuk untuk wanita.

Sokongan dari Kanada akan disalurkan melalui BlackBerry Limited (BlackBerry) dengan kerjasama Rogers Cybersecure Catalyst dari Toronto Metropolitan University untuk melatih 3,500 pertahanan siber dari Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN yang lain, kata BlackBerry.

Ia berkata, inisiatif ini memperkukuh kerjasama sektor awam-swasta global dalam perjuangan memerangi ancaman digital yang semakin meningkat, seiring dengan strategi Indo-Pasifik Kanada selain meletakkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan keselamatan siber serantau di Asia Tenggara.

“Sokongan daripada kerajaan Kanada akan merangkumi reka bentuk, pembangunan dan penyampaian kurikulum keselamatan siber yang komprehensif termasuk program khusus untuk wanita selain memperluas apa yang telah ditawarkan di CCOE bertaraf dunia di Cyberjaya.

“Kursus yang disokong ini akan merangkumi pendidikan berasaskan peranan dan laluan kepakaran serta Sijil Kepimpinan dalam Keselamatan Siber selain kursus Kepimpinan Wanita dalam Keselamatan Siber,” kata BlackBerry dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut BlackBerry, pembiayaan daripada Kanada juga akan menyokong biasiswa dan dermasiswa untuk rakyat Malaysia serta peserta serantau untuk mendaftar dalam kursus di CCOE selain memperoleh sijil industri yang diiktiraf di peringkat global dalam keselamatan siber.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata keselamatan siber adalah satu daripada tonggak dalam strategi Indo-Pasifik Kanada.

“Ini juga merupakan cabaran bersama yang perlu ditangani oleh negara-negara di seluruh dunia secara bersama-sama.

“Dengan pelaburan kerajaan kami di CCOE Malaysia melalui kerjasama dengan BlackBerry, Kanada akan berkongsi kepakaran siber, melatih tenaga kerja siber di seluruh ASEAN, meningkatkan kerjasama sektor awam-swasta serta mengukuhkan keupayaan kolektif untuk menangkis, menghalang dan memberi tindak balas terhadap ancaman siber,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry John Giamatteo berkata;

“Dalam ekonomi digital yang semakin berkembang, tidak kira betapa canggihnya persenjataan keselamatan siber anda, setiap negara mesti memiliki tenaga kerja siber yang terlatih untuk memperkukuhkan barisan hadapan pertahanan mereka.

— BERNAMA