JS-SEZ Jadi Topik Perbualan Dalam Kalangan Pelabur OBORCC

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini menjadi ‘buah mulut’ (topik perbualan hangat) dalam kalangan penggiat industri di rantau Asia.

Presiden Dewan Perniagaan One Belt One Road (OBORCC) Datuk Seri Tan Thian Lai berkata ia terbukti apabila beberapa syarikat dari China dan Timur Tengah mula menyatakan hasrat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek mega ini.

“Dalam dua lawatan kerja saya ke Shanghai, China dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, beberapa syarikat melibatkan infrastruktur, perkapalan dan teknologi melihat JS-SEZ sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan peniagaan dan pelaburan mereka.

“Mereka (pelabur) melihat JS-SEZ sebuah zon ekonomi unik dan mampan sekali gus mampu mengubah lanskap pelaburan di Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama.

Awal bulan ini, Singapura-Malaysia memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan.

JS-SEZ memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan mencipta pekerjaan pada 2025 dengan zon berkenaan diunjurkan menyumbang US$26 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mencipta 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

JS-SEZ adalah projek pembangunan mega merangkumi kawasan seperti Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai dan Sedenak.

Tan berkata kestabilan dari segi politik dan juga dasar ekonomi yang jelas Malaysia dan Singapura menjadi kunci tarikan utama kepada pelabur.

Selain itu beliau berkata lokasi strategik JS-SEZ terletak di laluan perdagangan antarabangsa utama menjadi nilai tambah dalam memudahkan pelabur mengakses pasaran ASEAN dan global.

“Saya menjangkakan JS-SEZ akan menjadi pusat pembangunan teknologi dan inovasi yang pesat di Asia Tenggara seiring negara maju lain. 

“Dengan kelebihan ini, JS-SEZ berpotensi menjadi model SEZ moden yang berjaya kerana sinergi unik antara dua negara berbeza dalam saiz, sumber, dan kekuatan ekonomi tetapi pada masa sama saling melengkapi,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Majoriti Negara Anggota ASEAN Perlu Pakai Zon Waktu Seragam – Abdul Wahid


KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) — Majoriti negara anggota ASEAN perlu mengguna pakai zon waktu seragam GMT+8 berikutan ini akan terus menyepadukan ASEAN sebagai blok ekonomi yang kukuh, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata idea itu bukan baharu dan kali pertama telah dicadangkan pada 1995, dicadangkan semula oleh Malaysia pada 2006 dan sekali lagi pada 2015 apabila Malaysia kali terakhir mempengerusikan ASEAN.

“Pada masa ini, Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia tengah dan Filipina telah berada dalam zon waktu GMT+8 sejajar dengan China, Hong Kong, Taiwan, Macau dan Australia Barat.

“Apa yang diperlukan ialah Indonesia menukar waktu barat Indonesia (yang termasuk Jakarta) kepada zon waktu yang sama dengan Indonesia tengah (iaitu terletak ibu negara pentadbiran baharu, Nusantara) serta untuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam beralih daripada zon waktu GMT+7 kepada GMT+8. 

“Ini akan menjadikan hanya Myanmar sebagai negara ASEAN yang terletak paling barat dalam kumpulan tersebut (pada masa ini GMT+6.30) dan bahagian timur Indonesia yang mempunyai kurang penduduk (pada masa ini GMT+9) berada di luar zon waktu seragam ASEAN,” katanya dalam ucapan pada Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik Malaysia 2025 (MESOF 2025) di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, zon waktu yang seragam akan menyepadukan ASEAN dengan lebih baik dari aspek ekonomi, sosial dan sosiopolitik.

“Perjalanan masa depan tidak terlepas daripada cabaran. Namun, cabaran datang dengan peluang. Prospek ekonomi Malaysia, pendekatan proaktif kita terhadap pasaran kewangan dan kepimpinan kita dalam kerjasama serantau akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih berdaya tahan.

“Bagi merealisasikan visi ini, kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil adalah penting.

“Melalui komitmen bersama dan usaha bersepadu, kita dapat menempuh landskap global yang rumit  dan memacu pertumbuhan yang mampan untuk negara dan rantau ini,” katanya.

Anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI), dengan kerjasama Kelab Ekonomi Kuala Lumpur, MESOF 2025 ialah acara tahunan yang menghimpunkan pakar ekonomi, penggubal dasar dan pemimpin pemikiran untuk memberikan pandangan mengenai trajektori ekonomi Malaysia serta prospek serantau dan global untuk tahun depan.

Forum itu, yang dihadiri kira-kira 100 perwakilan, menarik perhatian pelbagai golongan termasuk pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan, ahli akademik dan wakil industri.

— BERNAMA