Pelabur Asing Kekal Pembeli Bersih Bon Korporat Malaysia Untuk Bulan Kelima

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Senario ketidaktentuan pasaran global terbukti bukan penghalang pelabur asing yang kekal sebagai pembeli bersih Sekuriti Hutang Swasta (PDS) Malaysia bagi lima bulan berturut-turut, sekali gus memaparkan keyakinan terhadap pasaran bon korporat negara.

 Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang memetik data ekonomi Riverbank Macro Insights, berkata selera pelabur bagi bon korporat juga kekal kukuh dengan terbitan utamanya mencatat kadar lebihan langganan sehingga tujuh kali.

“Trend ini mencerminkan keyakinan berterusan ke atas instrumen hutang korporat Malaysia walaupun wujud usaha mengelak risiko lebih meluas dalam pasaran kewangan global,” katanya kepada Bernama.  

Mohd Afzanizam berkata walaupun pelabur asing menjadi penjual bersih dalam pasaran pendapatan tetap tempatan, terutama bon kerajaan, daya tahan pasaran PDS sebaliknya hanya menyerlahkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil.  

Beliau berkata aliran masuk terkumpul PDS berjumlah RM4.2 bilion bagi tempoh Oktober 2024 hingga Februari 2025 dengan Oktober 2024 dan November 2024 masing-masing berjumlah RM0.5 bilion, Disember 2024 (RM1.7 bilion), Januari 2025 (RM0.7 bilion) dan Februari 2025 (RM0.8 bilion).

Pada Februari 2025, aliran keluar bersih dana asing daripada aset pendapatan tetap Malaysia berjumlah RM1.1 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang mencatat jualan bersih sebanyak RM1.4 bilion, katanya.

Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) pula mencatat aliran keluar lebih kecil iaitu RM200 juta.

Beliau juga menyifatkan permintaan kukuh terhadap bon korporat mencerminkan daya tarikan hutang sektor swasta Malaysia yang disokong oleh asas korporat kukuh serta jangkaan kadar faedah yang menggalakkan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat akan datang pada 18-19 Mac, 2025 dan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia pada 24 Mac, 2025, dijangka memaparkan butiran trajektori ekonomi negara yang lebih jelas.

“Apabila keadaan pasaran berkembang, pasaran bon korporat Malaysia kekal sebagai tarikan yang membuktikan daya tahan dalam senario perubahan trend pelaburan global,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Transaksi ‘Beli Dulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) Naik Ketara Kepada RM7.1 Bilion – Amir Hamzah


KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Jumlah transaksi skim pengguna ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya golongan berusia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.

Beliau berkata kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.

“Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL berjumlah RM2.8 bilion yang hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.

“Kadar jumlah BNPL yang tertunggak juga terkawal pada RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit seperti perkhidmatan BNPL.

Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac, 2024, yang menjadi antara usaha kerajaan meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.

Beliau menjelaskan RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.

“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti ditetapkan, termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit secara adil dan memberi peringatan kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.

“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan,” katanya.

— BERNAMA