PM Anwar Beri Jaminan Malaysia Tidak Akan Alami Kemelesetan Meskipun Tarif AS

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami  kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Anwar juga menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS. 

“Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, dari perspektif ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 – 5.5 peratus perlu disemak semula.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya beri jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia,” kata beliau menerusi satu kenyataan video yang mengulas mengenai isu tarif AS, di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata asas makroekonomi negara masih kekal kukuh. 

Beliau berkata asas makroekonomi Malaysia yang positif disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang teguh, pelaburan kukuh domestik, pendapatan pelancongan yang baik dan pelaksanaan pelan induk negara yang berterusan.

“Asas ekonomi kita yang kukuh ini akan membolehkan kita mengharungi cabaran ini di kedudukan yang teguh dan dalam keadaan bersiap sedia,” kata Perdana Menteri bagi meredakan kebimbangan terhadap tarif dikenakan Presiden Donald Trump ke atas 168 negara yang telah menghuru-harakan pasaran selain memulakan perang perdagangan global selepas China bertindak balas.

Malaysia adalah antara negara yang terkesan oleh tarif AS itu yang mana mulai 5 April, setiap produk Malaysia yang dieksport ke AS akan berdepan sekurang-kurangnya 10 peratus duti dan mulai 9 April, kebanyakan produk akan dikenakan kadar 24 peratus, dengan beberapa pengecualian.

Sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia menganggap keputusan unilateral mengenai tarif timbal balik itu sebagai ancaman utama terhadap sistem perdagangan dan pelaburan global, kata Anwar.

Beliau berkata kerajaan MADANI berpandangan tegas bahawa tarif yang dikenakan ke atas setiap negara yang berdagang dengan AS merupakan penolakan terhadap prinsip perdagangan bebas, tanpa diskriminasi, boleh diramal dan terbuka di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). 

“Organisasi ini telah ditubuhkan, antara lainnya oleh AS sendiri pada 1948 melalui Perjanjian Umum mengenai Tarif & Perdagangan (GATT),” kata beliau.

Jangkaan impak jangka sederhana hingga jangka panjang yang mencabar

Sebagai salah satu rakan dagang terbesar Amerika di rantau ini dan destinasi utama pelaburan langsung asing yang berpangkalan di AS, kesan jangka pertengahan hingga jangka panjang dijangka mencabar.

“Tarif ini juga telah memberi kesan kepada hampir semua rakan dagang dan pelaburan Malaysia yang lain dan berkemungkinan akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global,” kata beliau.

Anwar berkata walaupun beberapa pengecualian sebahagiannya melindungi semikonduktor, yang merupakan kategori eksport terbesar Malaysia ke AS, namun, tarif baharu ini masih akan memberi kesan buruk terhadap banyak industri Malaysia termasuk tekstil, perabot, getah dan plastik.

Perdana Menteri berkata kerajaan memahami kebimbangan dan kesukaran yang dihadapi oleh pekerja, pengilang dan perniagaan dalam sektor ini.

“Kerajaan tekad untuk berusaha gigih menangani dan menyesuaikan diri dengan cabaran ini.”

“Kita memandang serius isu tarif ini kerana ia mencabar prinsip asas tanpa diskriminasi yang menyokong peraturan perdagangan global.

“Apatah lagi ia menjejaskan mata pencarian dan keselamatan ekonomi ramai rakyat Malaysia yang bergantung kepada akses terbuka dan adil kepada pasaran antarabangsa,” kata beliau.

Pengiraan tarif 47 peratus Malaysia ke atas import AS tidak tepat

Malaysia menyangkal dakwaan pihak berkuasa AS bahawa negara mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke negara ini.

Anwar menegaskan asas bagi pengiraan tarif ini pada asasnya tidak tepat yang menyebabkan Malaysia dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus.

“Namun begitu, kita akan bertindak dengan tenang, tegas dan berpandukan kepentingan strategik Malaysia, matlamat kita adalah jelas.

“Kerajaan komited sepenuhnya untuk mencapai resolusi yang akan mengekalkan akses pasaran yang penting, menarik pelaburan asing yang berterusan, dan menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan Malaysia,” kata beliau.

Ditunjang semangat untuk mengekalkan hubungan positif dan progresif dengan semua rakan dagang, Anwar berkata kerajaan MADANI akan berunding secara konstruktif dengan AS untuk melindungi akses pasaran yang penting, memelihara keyakinan pelabur dan mendapatkan hasil yang adil untuk pengeksport negara.

“Pendek kata, kita mesti mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama, adil dan saksama untuk masalah ini,” katanya sambil menambah “beberapa usaha sudahpun dijalankan.”

“Kementerian perdagangan dan luar negeri kita sedang menganalisis kesan tarif secara terperinci, menjalankan simulasi, berunding dengan pihak berkepentingan merentas industri dan berkomunikasi secara langsung dengan rakan sejawat di AS serta syarikat Amerika yang telah lama beroperasi di Malaysia.”

“Perdagangan kita dibina atas kepelbagaian rangkaian perkongsian serantau dan global yang utuh selama bertahun-tahun – termasuk melalui ASEAN, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan rundingan berterusan dengan Kesatuan Eropah dan mengeratkan hubungan merentas Selatan Global,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah awal untuk menangani impak tarif termasuk penubuhan National Geo-economic Command Centre (NGCC) yang dipengerusikan beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelabur Asing Jual Ekuiti Asia RM31.68 Bilion, Korea Selatan Catat Jualan Tertinggi


KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih di lapan pasaran Asia minggu lepas, mencatatkan aliran keluar bersih yang tinggi sebanyak US$7.12 bilion (RM31.68 bilion, US$1 = RM4.45), dengan Korea Selatan dan India menerima tekanan jualan yang paling tinggi.

Menurut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Amanah) untuk minggu berakhir 4 April 2025, Korea Selatan menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak US$4.44 bilion, hampir 20 kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar pada minggu sebelumnya dan meneruskan aliran keluar asing selama dua minggu berturut-turut.

Katanya ini disebabkan pergolakan politik di Korea Selatan, didorong oleh pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol oleh Mahkamah Perlembagaan selain tarif baharu Amerika Syarikat (AS), yang menyebabkan ketidaktentuan lebih ketara dan pelabur asing mengeluarkan dana mereka dari pasaran.

Katanya Korea Selatan berdepan tarif setinggi 26 peratus, menambah lagi kebimbangan mengenai perang perdagangan global dan memberi impak negatif kepada sentimen pelabur terhadap pasaran Korea Selatan.

“India mencatatkan aliran keluar asing bersih kedua tertinggi di rantau ini dengan pengeluaran sebanyak US$1.21 bilion, menjadikan satu lagi perubahan selepas aliran masuk selama seminggu.

“Pada 2 April 2025, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif asas 10 peratus ke atas semua barangan import, dengan tarif balas yang lebih tinggi untuk negara tertentu, termasuk tarif sebanyak 27 peratus ke atas barangan India berkuat kuasa 9 April 2025,” katanya.

Menurut MIDF Amanah, Taiwan turut mencatatkan aliran keluar yang ketara selama enam minggu berturut-turut sebanyak US$814.6 juta, didorong oleh tarif balas sebanyak 32 peratus ke atas import dari Taiwan, mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pelabur mengenai daya saing eksportnya, terutamanya dalam sektor yang amat bergantung pada pasaran AS.

Katanya Vietnam dan Thailand, masing-masing dikenakan tarif balas sebanyak 46 peratus dan 36 peratus, berkuat kuasa 9 April 2025.

“Sementara itu, Vietnam mencatatkan aliran keluar untuk minggu kesembilan berturut-turut, berjumlah US$345.0 juta, lebih empat kali ganda berbanding minggu sebelumnya dan Thailand turut meneruskan aliran keluar asing kepada minggu keenam, dengan aliran keluar sebanyak US$202.4 juta,” katanya.

Bagaimanapun, Filipina merekodkan aliran keluar terendah daripada pasaran yang dipantau, meneruskan aliran jualan selama dua minggu dengan aliran keluar asing bersih yang sederhana sebanyak US$14.9 juta manakala pasaran Indonesia tidak mencatatkan sebarang aliran dana minggu lepas berikutan pasaran ditutup disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri sepanjang minggu tersebut, katanya.

Pelabur asing meneruskan aliran jualan mereka di Bursa Malaysia pada minggu ke-24 berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM426.6 juta, lebih rendah daripada aliran keluar bersih sebanyak RM1.15 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya, disebabkan pasaran ditutup selama dua hari berikutan sambutan Hari Raya.

Menurut MIDF Amanah, institusi tempatan terus menjadi penampan terhadap jualan asing, mencatatkan belian bersih untuk minggu ke-24 berturut-turut dengan aliran masuk berjumlah RM369.1 juta.

“Sementara itu, pelabur runcit tempatan kembali menjadi pembeli bersih, menamatkan aliran jualan selama seminggu dengan aliran masuk sebanyak RM57.5 juta.

“Purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan yang meluas. Penyertaan pelabur asing dan institusi tempatan, masing-masing merosot sebanyak 11.7 peratus dan 28.8 peratus manakala runcit tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak 2.2 peratus,” katanya.

— BERNAMA