Sektor Pembinaan Malaysia Tidak Terjejas Impak Langsung “Hari Pembebasan”

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Sektor pembinaan Malaysia secara umumnya tidak terjejas dengan impak langsung “Hari Pembebasan,” yang mengenakan tarif kepada lebih 180 rakan dagang melalui kadar timbal balas antara 10 dan 49 peratus di seluruh ASEAN.

Bagaimanapun Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata sekiranya impak meluas daripada langkah ini berlarutan, ia boleh meningkatkan potensi risiko gelombang kedua termasuk pekerjaan berkaitan perdagangan menjadi perlahan dan kemungkinan kepada pengurangan atau penangguhan sementara kontrak pusat data.

“Indeks Pembinaan KL menyusut 4.3 peratus sejak Hari Pembebasan, menjejaskan lagi prestasi setakat ini pada tahun ini. Pada keseluruhannya, kami berpendapat peningkatan premium risiko dan kesan kekayaan negatif memerlukan penyesuaian kepada penilaian kami.

“Pada pandangan kami, ciri tarif yang boleh berubah-ubah boleh menyebabkan penangguhan dalam keputusan pelaburan sekali gus menjejaskan aliran kerja industri,” kata HLIB menerusi nota hari ini.

HLIB berkata peluang tender semakin banyak dan pesat tahun ini, tanpa gangguan daripada kecerdasan buatan (AI), kebimbangan mengenai Deep Seek dan ketidaktentuan perdagangan global.

“Kami menjangkakan kontrak pusat data akan mula masuk secara perlahan-lahan bermula suku kedua 2025 dan seterusnya, dengan pemberian kontrak yang lebih besar kira-kira RM2 bilion bagi setiap pusat data berkemungkinan menjelang separuh kedua tahun ini, mengambil kira tempoh penilaian.

“Lebih menggembirakan, beberapa kontrak infrastruktur tenaga telah direalisasikan tahun ini. Bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Bhd terus berkembang dengan jumlah perjanjian yang dimeterai mencecah 5.9 gigawatt (GW) atau peningkatan 26 peratus berbanding 4.7GW pada suku sebelumnya.

Situasi keseluruhan dilihat positif buat masa ini.

Bagaimanapun HLIB berkata terdapat kemungkinan perbelanjaan modal pusat data akan menyusut.

“Berdasarkan analisis yang kami kumpulkan, dalam dua daripada tiga kemelesetan yang berlaku sebelum ini, terdapat penyusutan 27 peratus tahun ke tahun dalam perbelanjaan modal agregat oleh syarikat teknologi besar, diikuti dengan peningkatan mendadak.

Satu lagi risiko yang dilihat HLIB adalah kemungkinan berlakunya turun naik yang lebih ketara susulan perubahan kepada peraturan penyebaran AI oleh Amerika Syarikat (AS) yang akan berkuat kuasa pada 15 Mei.

Walaupun peraturan ini tertumpu kepada AS dan China, ia tetap mewujudkan cabaran kepada negara  yang berusaha untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi digital.

Peraturan penyebaran AI AS adalah berkaitan pembangunan, penerimagunaan dan eksport teknologi AI.

— BERNAMA

Previous Article

Raya Airways Tambah Penerbangan Kargo Ke Zhengzhou, Perkukuh Hubungan Dagangan Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) — Penyedia perkhidmatan kargo, Raya Airways Sdn Bhd (Raya Airways) menambah penerbangan kargo Kuala Lumpur-Zhengzhou (KUL-CGO) kepada enam kali seminggu untuk mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.

Dilancarkan pada September 2024, bermula dengan tiga penerbangan seminggu, laluan KUL-CGO telah menjadi koridor penting bagi e-dagang rentas sempadan, kata Raya Airways dalam satu kenyataan.

Susulan permintaan yang meningkat, penambahan penerbangan Raya Airways itu menjanjikan akses lebih luas kepada pasaran antara dua negara yang semakin berkembang.

“Peningkatan kekerapan penerbangan KUL-CGO Raya Airways itu bukan hanya langkah pengoperasian, ia menyokong lonjakan perdagangan antara China dan Malaysia, China merupakan salah satu rakan dagangan utama kami,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Raya Airways Mohamad Najib Ishak.

Pejabat Raya Airways hari ini menerima tetamu yang mewakili China Henan Aviation Group dan China Logistics Group Global Express Supply Chain Management Co Ltd, pertemuan itu menekankan kepentingan strategik laluan kargo Zhengzhou dalam menyokong rangka kerja ‘Laluan Sutera Udara’ di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative).

Raya Airways juga mengukuhkan perkongsiannya dengan Balance Freight Sdn Bhd, kerjasama yang terus memacu inovasi dan kecekapan dalam logistik serantau.

Menurut kenyataan itu, Raya Airways kini sedang meningkatkan jejaknya dalam sektor kargo udara Asia.

Syarikat penerbangan itu berkata ia kekal komited untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang dalam penyelesaian logistik yang mengutamakan pelanggan untuk memastikan perniagaan berjalan lancar secara berterusan.

— BERNAMA