Bank Muamalat Terima Anugerah Kecemerlangan Perbankan Islam Sedunia Di London


KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) — Bank Muamalat Malaysia Bhd telah diberi penghormatan melalui ‘Anugerah Kecemerlangan Perbankan Islam Sedunia’ yang julung kali diadakan pada Forum Kepimpinan Muslim Sedunia (WMLF) 2024 yang berprestij di London, United Kingdom (UK) pada Jumaat lepas.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Negara di Jabatan Kerja dan Pencen UK Sir Stephen Timms kepada Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Tajuddin Atan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin di House of Lords yang bersejarah, Istana Westminster.

Bank Muamalat melalui satu kenyataan berkata pengiktirafan itu meraikan sumbangan teladan bank tersebut kepada masyarakat, kepimpinan perniagaan serta usaha memajukan inisiatif kewangan sosial, ia telah  menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan dalam perbankan beretika, kepimpinan dan kemampanan.

“WMLF, yang dianjurkan oleh School of Oriental and African Studies, University of London, telah lebih sedekad, menyediakan platform untuk perbincangan mengenai peranan kepimpinan Muslim dalam menangani cabaran global moden.

“Forum itu menghimpunkan pemimpin pemikiran, penggubal dasar termasuk pakar industri dalam meneroka jalan bagi inovasi, kerjasama serta perubahan masyarakat yang positif, merapatkan dunia Islam dan Barat,” katanya.

Mengulas anugerah itu, Tajuddin berkata bahawa pengiktirafan itu menekankan dedikasi pasukan selain mengesahkan komitmen mereka untuk menyampaikan penyelesaian perbankan yang inovatif dan beretika.

“Selaras dengan visi kami untuk menjadi bank Islam yang teguh di Malaysia, kami memperkasakan individu, menyokong perniagaan dan memajukan pembangunan mampan di seluruh Malaysia serta seterusnya, melalui perbankan patuh Syariah,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan anugerah itu mengesahkan Bank Komitmen Muamalat terhadap pemerkasaan komuniti dan memperjuangkan prinsip perbankan beretika yang akan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Jawatankuasa pemilihan WMLF menganugerahkan Bank Muamalat atas kecemerlangannya dalam perniagaan, kepimpinan dalam kewangan sosial dan komitmennya terhadap ekonomi inklusif. Bank itu kekal teguh dalam menyokong aspirasi kewangan pelanggan sambil mengembangkan jangkauan perkhidmatan kewangan patuh Syariah di peringkat global.

Untuk maklumat lanjut tentang produk dan perkhidmatan Bank Muamalat, lawati www.muamalat.com.my atau berhubung dengan pusat khidmat pelanggan pada 03-26005500.

— BERNAMA

Previous Article

UEM Sunrise, Maybank Lancar HomeClick, Platform Permudah Pembelian Rumah Dalam Talian

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama)  — UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menjalin kerjasama dengan Maybank melancarkan HomeClick, platform dalam talian menyeluruh untuk menambah baik serta melancarkan urusan pembelian rumah oleh pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Sufian Abdullah berkata syarikat itu menyasarkan untuk memudahkan pengalaman pembeli rumah dengan menawarkan pendekatan mengutamakan digital yang sekali gus menjadikan proses lebih mudah dan telus.

“Platform ini bukan hanya sekadar kemudahan dalam talian, ia mencerminkan komitmen kami untuk bergerak seiring mengikut keperluan pelanggan dalam era digital, memastikan pemilikan rumah boleh diakses secara digital  dengan berkesan dan lancar,” katanya kepada Bernama pada pelancaran kemudahan dalam talian baharu itu hari ini.

Mengenai jangkaan kesan HomeClick terhadap jualan, Sufian yakin dengan potensinya yang akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan UEM Sunrise.

“Kami menjangkakan langganan platform itu akan meningkat, namun masih terlalu awal untuk berkongsi angka yang tepat,” katanya sambil menambah UEM Sunrise sedang berusaha memasukkan perjanjian jual dan beli elektronik (eSPA) sebagai sebahagian daripada proses penyelarasan.

Bagaimanapun, Sufian menjelaskan pelaksanaan eSPA  akan bergantung kepada kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ketika ini, HomeClick disediakan di Residensi ZIG, Kiara Bay dan menyediakan bakal pembeli pengalaman digital sepenuhnya, menawarkan ciri-ciri utama seperti tempahan unit dalam talian, membolehkan pembeli memilih serta mendapatkan rumah idaman dengan hanya beberapa klik.

HomeClick turut disepadukan dengan kemudahan kewangan Maybank Home2u, membolehkan proses permohonan pinjaman dalam talian lebih pantas menerusi platform itu.

“Dengan penyepaduan ini, pembeli rumah UEM Sunrise yang layak boleh mendapatkan kelulusan kewangan hampir serta merta iaitu hanya 10 saat, manakala surat tawaran akan dikeluarkan dalam tempoh satu jam.

“Selain itu, terdapat ciri saringan pinjaman pilihan yang disediakan oleh Finology untuk semakan kelayakan sebelum permohonan dihantar,” tambah Sufian.

— Sumber: BERNAMA