Definisi, Pengelasan T15 Akan Diputuskan Dalam Masa Terdekat – Rafizi

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Cadangan berkaitan definisi dan pengelasan kumpulan pendapatan T15 sedang diperhalusi dan akan diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini. 

Beliau berkata terdapat beberapa cadangan yang sedang dibincangkan oleh kerajaan justeru, konsep dan pengkelasan T15 yang dipersetujui akan diguna pakai bagi pemberian bantuan dan subsidi kerajaan.

“Pengelasan T15 daripada Kementerian Ekonomi dicadangkan untuk beralih daripada pendekatan berdasarkan pendapatan kasar yang digunakan sebelum ini iaitu B40, M40 dan T20 kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih bagi memastikan pengukuran dan penyasaran yang lebih inklusif dan adil,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad mengenai perincian kerajaan berkenaan golongan T15 yang berdepan penarikan balik subsidi bahan api, pendidikan dan kesihatan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025. 

Rafizi berkata definisi dan mekanisme pengelasan golongan T15 berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem PADU dengan mengambil kira elemen perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW).

Beliau berkata PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.

PAKW juga boleh memperjelas mengenai kos sara hidup di kawasan berbeza antara negeri, menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi, serta dalam penentuan gaji yang lebih adil di samping membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah, katanya.

Rafizi berkata penggunaan PAKW boleh membantu mengurangkan ralat keciciran dalam pengagihan bantuan dengan memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan.

“Saya berharap melalui maklumat kewangan isi rumah yang lebih baik, kita boleh perluas kepada pelaksanaan-pelaksanaan lain termasuk subsidi haji yang boleh menggunakan data dan pengelasan yang lebih adil kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Previous Article

Pengambilalihan Warnai Pertumbuhan Pesat Sektor Perbankan Pada 2024


KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) – Pengambilalihan pegangan utama dalam Affin Bank Bhd oleh kerajaan negeri Sarawak dan pembelian ekuiti LPI Capital Bhd oleh Public Bank serta prestasi bank yang rata-ratanya mencatatkan keuntungan tinggi merupakan pencapaian yang mewarnai landskap perbankan dan kewangan Malaysia pada tahun ini.

Pengambilalihan Affin Bank mendapat perhatian utama apabila Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama yang memiliki bank perdagangan manakala pengambilalihan LPI akan memberi peluang kepada Public Bank untuk mengembangkan lagi penerokaannya dalam pasaran insurans Malaysia.

Selain janji niaga tersebut, sektor perbankan juga mencatatkan pertumbuhan pinjaman serta keuntungan lebih tinggi dan kecairan yang mencukupi yang didorong oleh pengembangan kukuh ekonomi.

Ketika 2024 semakin menuju ke penghujung, terdapat spekulasi kedua-dua janji niaga korporat utama ini bakal menjadi pencetus kepada trend pengambilalihan dengan entiti awam membeli pegangan bank dan bank utama mengambil alih syarikat berkaitan kewangan lain.

Janji niaga korporat strategik ini jelas mencerminkan anjakan transformatif dalam sektor perbankan Malaysia yang bakal membuka ruang kepada lebih banyak kepelbagaian dalam institusi kewangan.

Ini mungkin menunjukkan trend yang lebih meluas, kemungkinan ke arah penyatuan dalam industri perbankan ketika mereka berusaha meningkatkan kelebihan daya saing masing-masing dan mengembangkan bahagian pasaran.

Sarawak, menerusi anak syarikat milik penuhnya SG Assetfin Holdings Sdn Bhd, membeli pegangannya daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Boustead Holdings Bhd, sekali gus meningkatkan ekuitinya dalam Affin kepada 31.25 peratus.

Perjanjian itu dimeterai secara rasmi pada 27 Sept.

Manakala Public Bank menyelesaikan pengambilalihan 175.9 juta saham yang mewakili 44.15 peratus pegangan dalam syarikat insurans LPI Capital pada 4 Dis.

Sektor Perbankan Berkembang Pesat Pada 2024 

Sektor perbankan mencatatkan keuntungan tinggi tahun ini, dipacu oleh keadaan ekonomi yang stabil, inflasi rendah dan peningkatan permintaan korporat.

Penganalisis mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan berada dalam jajaran antara 4-6 peratus, peningkatan sedikit daripada 5.3 peratus pada 2023.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan bank mempunyai permodalan yang baik dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1), nisbah Tahap 1 dan Nisbah Jumlah Modal (TCR) masing-masing berada pada 14.4 peratus, 14.9 peratus dan 18.0 peratus.

Tahap ini mengatasi paras minimum masing-masing pada 4.5 peratus, 6.0 peratus dan 8.0 peratus.

“Bank-bank mencatatkan keuntungan tinggi dengan purata Pulangan atas Aset (ROA) dan Pulangan atas Ekuiti (ROE) bagi tiga suku pertama 2024 masing-masing berada pada 1.30 peratus dan 11.80 peratus, daripada 1.30 peratus dan 11.47 peratus dalam tempoh yang sama tempoh tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

Pertumbuhan Pinjaman Industri

Jumlah pertumbuhan pinjaman dalam tempoh 10 bulan pertama berada pada kadar purata 6.0 peratus berbanding 4.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, disokong oleh segmen isi rumah dan bukan isi rumah.

Kedua-dua segmen, pertumbuhan pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah meningkat pada purata 6.3 peratus dan 5.5 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama daripada 5.5 peratus dan 3.2 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Meskipun bank terus mengembangkan pinjaman mereka, namun mereka tetap memberi perhatian utama kepada kualiti aset,” kata Mohd Afzanizam.

Selain itu, nisbah Liputan Kerugian Pinjaman berada pada 126.6 peratus, menunjukkan bank kekal mengambil pendekatan berhemat dalam polisi peruntukan kerugian pinjaman mereka memandangkan saiz peruntukan kerugian pinjaman melebihi aset terjejas.

Kecairan dalam sistem perbankan kekal mencukupi dengan Nisbah Liputan Kecairan (LCR) berada pada 146.8 peratus setakat Oktober 2024, jauh melebihi paras minimum yang ditetapkan pada 100 peratus.

Ketua pelaburan, penyelidikan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata kualiti aset dan kos kredit kekal stabil, disokong oleh penampan peruntukan yang mencukupi.

Beliau berkata sektor itu mengekalkan kualiti aset yang stabil, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kembali ke tahap seperti sebelum COVID.

Nisbah GIL turun daripada 1.64 peratus pada Januari 2024 kepada 1.53 peratus pada Oktober 2024, menunjukkan bahawa risiko kredit kekal terkawal.

“Bank-bank mengekalkan penampan peruntukan yang mencukupi untuk menguruskan risiko kredit dengan berkesan,” katanya.

OPR : Kestabilan dan Daya Tahan Ekonomi 

Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal stabil pada 3.00 peratus sepanjang 2024, tahap yang dicapai sejak Mei 2023.

Kadar ini telah menyokong komitmen strategik Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memupuk pertumbuhan ekonomi sambil mengekalkan kestabilan harga dalam persekitaran global yang kompleks.

AmInvestment Bank berkata margin faedah bersih (NIM) dijangka menerima tekanan berikutan jangkaan OPR akan diturunkan sebanyak 25 mata asas (bps).

Menurut bank itu setiap penurunan 25 mata asas dalam OPR akan menyaksikan NIM bank berkurangan sebanyak purata 2-3 mata asas, memberi kesan kepada keuntungan bersih sebanyak 3-4 peratus.

RAM Rating Services Bhd berkata purata NIM meningkat dua mata asas suku ke suku kepada 2.05 peratus pada Suku Kedua 2024.

“Berikutan pengurangan ketara NIM pada 2023 disebabkan kelewatan penetapan harga semula deposit daripada kenaikan kadar dasar sebelum ini dan persaingan yang semakin meningkat, kami melihat sedikit kelonggaran pada Separuh Pertama 2024,” katanya.

Prospek Sektor Perbankan bagi 2025

Pada masa depan, Mohd Sedek berkata walaupun cabaran seperti pertumbuhan pinjaman yang menyederhana dan pengurangan berterusan NIM, kualiti aset yang stabil menyediakan penampan.

“Pelabur perlu menggunakan strategi terpilih, mengutamakan bank yang berpotensi bagi pengembangan ROE dan penilaian yang menarik,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan pendapatan operasi yang sederhana berkemungkinan akan menyebabkan pengembangan terhad ROE dalam tempoh terdekat.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh menyokong pertumbuhan pinjaman dan mengurangkan risiko kredit serta menambah baik kecairan yang mungkin dapat menstabilkan malah meningkatkan NIM, kata Mohd Sedek.

“Bagaimanapun, pertumbuhan global yang lebih perlahan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset. Kemungkinan penurunan kadar faedah boleh mengurangkan lagi NIM.

“Pertumbuhan perlahan CASA (akaun simpanan akaun semasa) mungkin akan meningkatkan persaingan deposit, seterusnya menambah tekanan ke atas kos pembiayaan,” katanya.

— BERNAMA