Sembilan Anak Syarikat KWSP Alami Kerugian Tiga Tahun Berturut-Turut – LKAN


KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Sebanyak sembilan syarikat subsidiari milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut sejak 2021, dengan jumlah kerugian pada 2023 mencecah RM224.21 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 (LKAN) menyatakan kesemua syarikat subsidiari tersebut mengalami kerugian sebanyak RM76.51 juta pada 2022 dan RM49.76 juta pada 2021.

Syarikat yang mengalami kerugian tersebut termasuk KWASA Europe S.à r.l, yang mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM158.42 juta pada 2023, diikuti Ameen Direct Equity I, L.P (RM25.61 juta), KWASA Europe-I S.à r.l (RM14.40 juta), Naungan Sentosa Sdn Bhd (RM11.88 juta), Kwasa Utama Sdn Bhd (RM8.61 juta), YTR Harta Sdn Bhd (RM2.70 juta), Kwasa Singapore Duo Pte Ltd (RM1.36 juta), PPNK – Harta Sdn Bhd (RM840,000) dan Common Icon Sdn Bhd (RM390,000).

Menurut laporan audit tersebut, tiga syarikat subsidiari KWSP, iaitu KWASA Europe S.à.r.l, KWASA Europe-I S.à r.l dan Naungan Sentosa Sdn Bhd mengalami kerugian disebabkan oleh struktur modal syarikat subsidiari yang sebahagian besarnya dalam bentuk pinjaman pemegang saham.

“KWSP sebagai pemegang saham tunggal syarikat mendapat pulangan dalam bentuk faedah pendapatan dan digunakan untuk membayar dividen kepada pencarum.

“Manakala Ameen Direct Equity I, L.P. merupakan dana yang baharu ditubuhkan pada 2021 dengan tumpuan pelaburan jangka panjang dan masih belum menjana pendapatan mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi,” kata laporan itu.

Menurut LKAN, KWSP diaudit tanpa teguran namun laporan tersebut mengesyorkan Agensi Persekutuan tersebut memperkasakan usaha penjanaan hasil untuk meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan mengurangkan kebergantungan terhadap geran Kerajaan.

Selain itu, laporan tersebut turut mengesyorkan KWSP mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut dan tidak memberikan pulangan sewajarnya. 

Secara keseluruhan, KWSP memiliki 55 syarikat subsidiari dengan 34 daripadanya merekodkan keuntungan pada 2023.

— BERNAMA

Previous Article

Kerajaan Unjur Kadar Inflasi Meningkat Secara Sederhana 2 Peratus Hingga 3.5 Peratus

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Kerajaan mengunjurkan kadar inflasi akan meningkat secara sederhana pada 2025 dalam julat dua peratus hingga 3.5 peratus, menurut Kementerian Kewangn (MoF). 

MoF berkata unjuran itu telah mengambil kira pelbagai faktor utama termasuk trend inflasi bagi komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) terutamanya inflasi kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP. 

“Unjuran ini turut mempertimbangkan perubahan harga komoditi global serta pelaksanaan beberapa dasar domestik seperti peningkatan kadar gaji minimum, penstrukturan semula skim gaji penjawat awam, penyasaran subsidi bahan api petrol serta peluasan skop perkhidmatan bercukai dan perubahan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis bagi menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Wan Ahmad Fayhsal ingin tahu adakah kerajaan mengunjurkan prospek inflasi bagi 2025 mengambil kira inflasi makanan dan minuman meningkat kepada 2.6 peratus pada November 2024 berbanding 2.3 peratus bulan sebelumnya dengan kumpulan makanan dan minuman menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

MoF berkata trend pertumbuhan harga kumpulan makanan dan minuman, merupakan penyumbang terbesar dalam IHP dengan wajaran 29.8 peratus telah menunjukkan penurunan ketara sejak 2022, iaitu daripada 5.8 peratus (2022) kepada 4.8 peratus (2023) dan seterusnya dua peratus (2024). 

Bagi subkumpulan makanan di rumah yang mengukur perubahan harga barangan makanan mentah seperti beras, daging, ikan dan ayam, inflasi bagi subkumpulan ini pada bulan Oktober dan November 2024 menunjukkan peningkatan sederhana sebanyak 0.6 peratus bagi kedua-dua bulan berkenaan. 

“Ini membuktikan bahawa langkah-langkah diambil oleh kerajaan seperti dasar pelaksanaan subsidi bersasar, kawalan harga serta pemantauan dan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjaya membantu menstabilkan harga barang makanan,” katanya.

Selain itu, harga komoditi utama dunia turut dijangka kekal stabil akan mengurangkan tekanan kepada inflasi meskipun terdapat ketidaktentuan dalam persekitaran global.

Minyak mentah Brent diunjur antara US$75 hingga US$80 setong pada 2025 manakala harga minyak sawit mentah pula dijangka berada dalam lingkungan RM3,500 hingga RM4,000 satu tan dalam tempoh yang sama.

MoF berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan harga dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan inflasi kekal terkawal serta tidak membebankan rakyat, selain itu langkah strategik seperti subsidi bersasar, kawalan harga dan bantuan tunai akan diteruskan untuk meringankan tekanan kos sara hidup serta memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

— BERNAMA