ST Rosyam Mart Sasar Nilai Jualan Cecah RM2 Bilion Tahun Ini


KLANG, 20 Mac (Bernama) — Rangkaian pasar borong dan runcit ST Rosyam Mart menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2 bilion tahun ini menerusi lapan cawangan seluruh negara termasuk premis baharu di Jalan Kebun di sini yang dibuka semalam.

Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Rosyam Nor berkata sasaran itu dilihat mampu dicapai memandangkan rangkaian pasaraya itu merekodkan hasil jualan mencecah RM1.4 bilion tahun lepas.

“Dengan konsep memenuhi keperluan seisi keluarga merangkumi makanan, fesyen, hiburan, teknologi dan aktiviti sukan pickleball di bawah satu bumbung, saya optimis sasaran itu boleh dicapai.

“Selain itu, kami juga memperkenalkan sistem pandu lalu pengambilan barang pesanan kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian di ST Rosyam Mart sekali gus menambah potensi kepada peningkatan jualan di premis kami,” katanya semasa majlis pembukaan cawangan baharu syarikat itu di sini.

Pembukaan rasmi cawangan kelapan ST Rosyam Mart di atas tapak seluas 114,000 kaki persegi itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Rosyam berkata pembukaan cawangan itu mencerminkan keprihatinan pihaknya terhadap kehendak rakyat membeli barangan segar dan berkualiti pada kadar harga mampu milik serta jimat.

“Pembukaan cawangan baharu ST Rosyam Mart adalah manifestasi kepada prinsip perniagaan kami iaitu menawarkan barangan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosyam berkata pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk terlibat sama dalam inisiatif Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada masa akan datang.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Perodua Meterai Perjanjian Dengan MyDigital ID Bagi Peroleh Akses Pengesahan pengguna

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan My Digital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) bagi mendapatkan akses pengesahan pengguna seiring usaha syarikat kenderaan kompak itu ke arah transaksi tanpa tunai.

MyDigital ID merupakan inisiatif Identiti Digital Nasional yang selamat dan dipercayai selain dibangunkan untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan akses yang selamat serta lancar bagi perkhidmatan digital kerajaan dan swasta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata proses pengesahan yang dijalankan merupakan titik permulaan yang selamat bagi memastikan semua pengguna dilindungi oleh pakar keselamatan siber di negara ini.

“Kerjasama ini merupakan yang pertama seumpamanya bagi industri automotif di negara ini dan memandangkan MyDigital ID bertindak sebagai pengawal akses atau ‘gatekeeper’ bagi pengesahan transaksi di negara ini.

“Ia membolehkan kami mempelbagaikan lagi perkhidmatan kepada para pelanggan kami khususnya serta kepada semua rakyat Malaysia secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat juga menyokong seruan kerajaan ke arah komuniti tanpa tunai di samping memanfaatkan ciri keselamatan siber kukuh yang disediakan oleh MyDigital ID.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MyDigital ID, Mohd Azuddin Parman berkata kerjasama strategik dengan Perodua menunjukkan kepentingan peranan identiti digital bagi memacu pembaharuan digital di dalam industri automotif.

“Kuncinya iaitu memastikan pengesahan identiti digital yang dipercayai di samping menjadikan interaksi digital lebih selamat dan mudah. Ia memperkasakan industri seperti automotif untuk menawarkan pengalaman selamat dan mesra pengguna kepada setiap pelanggan,” katanya.

— BERNAMA