TNG Digital Lancar Ciri Tambah Nilai Baharu ‘SOS Balance’ Dalam eWallet


Kuala Lumpur, 23 Jan (Bernama) — TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi TNG eWallet iaitu SOS Balance, bagi memastikan pengguna yang tidak mempunyai baki mencukupi masih dapat melalui plaza tol.

Ia akan diperkenalkan kepada pengguna eWallet TNG terpilih mulai hari ini secara percuma, yang memberikan mereka tempoh  24 jam untuk menambah nilai eWallet dan menyelesaikan sebarang caj tol tertunggak.

Pengerusi TNG Digital Effendy Shahul Hamid berkata ciri percuma itu akan menyumbang kepada aliran trafik yang lebih lancar dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

“Punca utama pengguna terperangkap di plaza tol adalah kekurangan baki dalam akaun TNG e-Wallet mereka.

“Ciri baharu ini membenarkan pengguna yang layak tapi mempunyai baki yang tidak mencukupi melalui plaza tol, namun diwajibkan menambah nilai eWallet mereka dan membayar caj tertunggak itu dalam masa 24 jam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran SOS Balance oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni berkata ciri itu pada ketika ini hanya tersedia kepada pelanggan setia kerana mereka kurang berpotensi menyalahgunakannya.

“Kami amat menggalakkan pengguna membuat pembayaran dalam tempoh 24 jam, tetapi secara praktikalnya, pembayaran masih boleh dibuat selepas tempoh tersebut,” katanya sambil menambah bahawa TNG Digital bersedia menyerap potensi kerugian.

 Mengenai rancangan untuk melanjutkan perkhidmatan atau caj tempat letak kereta, Ni berkata syarikat itu perlu menilai prestasi, risiko dan potensi kerugian terlebih dahulu.

SOS Balance boleh digunakan di lebuh raya berdaya RFID dan PayDirect, dengan liputan semasa merangkumi 31 daripada 33 lebuh raya di seluruh Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA 

Previous Article

Pengeluaran PROTON e.MAS 7 Dipertingkat Susulan Permintaan Tinggi

KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) — Proton Holdings Bhd (Proton) sedang meningkatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) e.MAS 7 dengan tambahan 3,000 unit bagi menampung permintaan tinggi daripada pelanggan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata pembuat kereta itu sebelum ini menyasarkan untuk mendapatkan 3,000 tempahan bagi kenderaan itu dalam tempoh enam bulan, tetapi ia telah melepasi sasaran dalam tempoh kurang sebulan.

“Permintaan semakin meningkat dan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kereta EV.

“Saya yakin dalam masa tiga atau empat tahun akan datang orang akan berebut untuk menggunakan kenderaan EV dan semakin meninggalkan penggunaan kenderaan petrol atau diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bilik Pameran Kereta Elektrik jenama PROTON di JM Otomobil (EV) Wakaf Siku, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata sasaran  terhadap pengguna kenderaan EV ini adalah kepada mereka yang meminati teknologi terbaharu.

“Harga dia (EV) tidak jauh beza dengan Proton X50 dan X70. Apa yang penting adalah matlamat negara yang sedang menuju ke arah Mobiliti Karbon Sifar,” katanya.

Proton e.MAS 7 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Dis tahun lepas, ia  merupakan kereta EV pertama negara dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau.

Ditawarkan dua varian iaitu Prime pada harga bermula RM109,800 dan Premium (RM123,800).

Ia dilengkapi dengan sistem motor 12 dalam 1, audio dengan 16 pembesar suara, ruang dalaman yang luas serta 33 ruang penyimpanan.

— BERNAMA