Kerajaan Tambah Jaminan RM10 Bilion Bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan Bantu 20,000 Peminjam

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) akan ditingkatkan dengan tambahan jaminan RM10 bilion tahun ini sekali gus akan memberikan manfaat kepada lebih 20,000 peminjam.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peningkatan itu mengambil kira perkembangan semasa dengan ramai yang bekerja dalam sektor informal dan menjadi pekerja gig.

Kerajaan MADANI prihatin dengan cabaran pembiayaan perumahan yang dihadapi oleh mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki rumah pertama, katanya ketika berucap melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 – Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan di sini, Khamis.

Beliau berkata dalam pada itu, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM20 bilion kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) untuk pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jumlah tersebut dijangka menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan usahawan PKS, khususnya yang terlibat dalam sektor tumpuan seperti halal, teknologi tinggi serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pelancongan,” katanya.

Amir Hamzah berkata SJPP akan menyediakan sokongan kewangan yang lebih komprehensif tahun ini bagi sektor tersebut, merangkumi kemudahan pembiayaan lebih mudah diakses, sokongan terhadap inovasi, penggalakan amalan mampan serta peningkatan daya tarikan pelancongan negara di peringkat antarabangsa.

Pendekatan itu bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, mencipta peluang pekerjaan dan menjadikan Malaysia sebagai hab utama bagi sektor halal dan teknologi tinggi selaras dengan aspirasi ESG, katanya.

“Selain itu, sebanyak RM5 bilion daripada jaminan RM20 bilion di bawah SJPP akan dikhususkan kepada syarikat bumiputera bagi memperkasakan komuniti perniagaan bumiputera serta meningkatkan kebolehpasaran produk dan daya saing syarikat di peringkat domestik dan global.

“Pemerkasaan bumiputera kekal sebagai fokus utama bagi memastikan penyertaan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, termasuk inisiatif pembangunan keusahawanan, peningkatan akses kepada pembiayaan serta pengukuhan kehadiran bumiputera dalam industri bernilai tinggi,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga sedang memperluas ekosistem halal, yang merangkumi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, dan kewangan Islam, bagi mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal global.

“Pelaburan dalam pensijilan halal, penyelidikan dan kerjasama perdagangan turut mempertingkatkan daya saing negara dalam industri yang bernilai trilion ringgit ini,” katanya.

Beliau berkata sejak SJPP ditubuhkan pada April 2009 dan sehingga Disember 2024, lebih 75,000 usahawan PKS telah menerima jaminan pembiayaan bernilai lebih RM102 bilion.

“Sementara itu, pada 2024 sahaja, lebih 14,000 PKS menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM18.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata dalam pada itu, SJKP pula telah meluluskan jaminan kepada lebih 76,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan melebihi RM17.8 bilion sejak syarikat itu ditubuhkan pada akhir 2007 dan sehingga Disember 2024.

“Bagi 2024 sahaja, lebih 36,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM9.7 bilion telah diluluskan,” katanya.

— BERNAMA

Previous Article

KWSP Tidak Rugi, Raih RM102 Juta Daripada Penjualan Saham MAHB – Amir Hamzah


KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah dijual pada harga antara RM6.80 dan RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2023, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus pada 2023 turut menjadi faktor utama strategi penjualan saham.

Sehubungan itu, katanya tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas dan ini jelas telah ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Feb 2025.

“Berdasarkan kenyataan ini, jelas bahawa KWSP telah mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Dis 2023,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin mengetahui jumlah keuntungan atau kerugian dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB dan bagaimana ia dilaporkan dalam penyata kewangan KWSP.

Amir Hamzah berkata KWSP juga telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah pada 2023. 

“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya.

Katanya aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

Menurutnya, sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.

KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai ‘Chinese wall’ yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi kewangan, katanya. 

“Di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).

“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya ‘insider trading’ yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya.

Beliau berkata protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ia merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap ‘insider trading’ seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Katanya ‘insider trading’ merupakan satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

“Sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik,” katanya. 

Beliau berkata kawalan dalaman ketat yang telah diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP inilah yang telah menyumbang kepada keteguhan KWSP sebagai sebuah institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya. 

“Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan. 

“Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” katanya.

— BERNAMA