Sektor Pembinaan Terus Rancak, Pembangunan Pusat Data Beri Dimensi Baharu Pada 2024

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Sektor pembinaan Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi tahun ini, sebahagian besarnya dipacu oleh peningkatan kerja-kerja infrastruktur kejuruteraan awam.

Pembinaan pusat data telah memberi dimensi baharu untuk mempertingkat aktiviti pembinaan di samping penyambungan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), “Rapid Transit System Link” dan Lebuhraya Pan Borneo.

Pembinaan beberapa pusat data telah membantu sektor itu berkembang 19.1 peratus dalam tempoh 11 bulan tahun ini, dengan sentimen memberangsangkan setakat ini membawa kepada prospek pembinaan yang optimistik pada 2025.

Sementara itu, bagi tiga sukuan tahun ini, nilai keseluruhan kerja yang telah siap berjumlah RM116.8 bilion, dengan didahului subsektor kejuruteraan awam, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Projek itu meliputi pelaburan dan inisiatif strategik yang menumpukan kepada ketersambungan, kemampanan dan transformasi digital.

Penekanan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur telah menarik pelaburan domestik dan asing yang besar sekali gus menetapkan tahap untuk pertumbuhan jangka masa panjang.

Sentimen Positif ditunjukkan menerusi Indeks Pembinaan

Sentimen positif dalam pembinaan ditunjukkan menerusi Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI), yang melonjak 30 peratus kepada setinggi 316.83 setakat 18 Julai, selepas bermula dengan 193.83 pada 2 Januari.

Pembangunan utama tahun ini termasuk projek besar ECRL yang 80 peratus siap pada November, manakala RTS — menghubungkan Johor Bahru dan Singapura — telah 83 peratus siap setakat 20 Ogos lepas.

Sementara itu, Fasa 1B projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak telah dilancarkan baru-baru ini, untuk meningkatkan ketersambungan serantau dengan menggalakkan integrasi ekonomi di seluruh negeri itu.

Pertumbuhan industri pembinaan telah hampir sejajar dengan kemajuan dalam teknologi digital, meliputi data raya dan kecerdasan buatan (AI), yang telah meningkatkan permintaan dan pembinaan terhadap pusat data dengan ketara.

Keputusan firma korporat global seperti Microsoft, Amazon Web Services (AWS) dan Google memilih Malaysia untuk pengembangan pusat data masing-masing mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan asing yang ideal.

Faktor tarikan termasuk lokasi strategik dan infrastruktur lengkap Malaysia serta dasar kerajaan yang bersifat menyokong.

Tidak dinafikan, hubungan sinergi antara teknologi pembinaan dan pusat data akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam kedua-dua sektor itu.

Kehadiran Pesat Pusat Data di Malaysia

NTT Data, yang merintis pembangunan pusat data CBJ 1 di Cyberjaya pada awal 2000-an, kini mengendalikan enam pusat data di negara ini.

Syarikat lain turut menjejaki langkah NTT termasuk CSF Advisers, Basis Bay dan AIMS Data Centre, yang telah mewujudkan operasi yang kukuh di Malaysia.

Infrastruktur digital juga telah mengalami peningkatan ketara, dengan pelaburan dalam pusat data berskala hiper seperti kemudahan KUL2 di Cyberjaya dan pusat data sedia AI Iskandar Puteri.

Semua projek ini menyokong visi Malaysia untuk menjadi ekonomi digital terkemuka di Asia Tenggara.

Kontrak 5G Kedua Jadi Tumpuan

Infrastruktur generasi kelima (5G) merupakan satu lagi asas bagi strategi ini, bertujuan meningkatkan ketersambungan di seluruh negara dan membolehkan bandar pintar.

Keputusan mengenai pemilihan U Mobile sebagai penyedia teknologi rangkaian selular 5G kedua telah menjadi tumpuan korporat semasa akhir tahun ini.

Digital Nasional Bhd sedang melaksanakan rangkaian 5G pertama.

Projek infrastruktur air meliputi peruntukan RM4 bilion untuk pengurusan air di Perak dan sistem tebatan banjir di Lembah Klang, mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina semula daya tahan iklim selain memastikan pengurusan sumber yang mampan.

Penganalisis berpandangan tumpuan kepada projek jangka masa panjang seperti rangkaian pengangkutan dan infrastruktur tenaga boleh baharu telah meningkatkan daya tahan sektor itu.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya telah menekankan kepentingan langkah dasar yang menarik pelaburan langsung asing, khususnya dalam pembinaan hartanah perindustrian dan kediaman.

Pelaburan dan Perkongsian

Bagi tempoh sembilan bulan berturut-turut tahun ini, nilai kontrak yang diberikan untuk projek infrastruktur adalah melebihi RM41 bilion, mengatasi RM36.7 bilion pada 2023.

Penyertaan sektor swasta yang kukuh, dengan pelaburan dalam projek bukan kediaman seperti bangunan komersial, kilang dan gudang mencecah RM109 bilion.

Penganalisis itu menjelaskan perkongsian awam-swasta (PPP) telah berperanan penting khususnya dalam pembangunan projek rel dan tenaga boleh baharu.

Selain itu, usaha Malaysia untuk memodenkan rangkaian pengangkutan dan utiliti telah terserlah dalam meningkatkan daya saingnya dalam rantau ASEAN.

“Ketahanan sektor tersebut diperkukuh oleh penglibatan sektor swasta, yang menyumbang lebih 60 peratus kepada pembiayaan untuk projek infrastruktur,” jelasnya.

Prospek pada 2025 dan Seterusnya

2024 menjadi satu tempoh yang memberangsangkan justeru, prospek untuk 2025 juga cerah disokong oleh peruntukan RM50 bilion menerusi Belanjawan 2025 untuk infrastruktur, dengan bidang utama ialah pengangkutan bandar yang mampan, tenaga boleh baharu dan penambahbaikan infrastruktur luar bandar.

Penyepaduan teknologi digital seperti kecerdasan buatan dan grid pintar akan menambah kecekapan dan produktiviti dalam pembangunan infrastruktur.

RHB Investment Bank Bhd menekankan kepentingan mengekalkan konsistensi dasar di samping memupuk inovasi dalam projek infrastruktur untuk mempertahankan keyakinan pelabur.

“Strategi infrastruktur Malaysia dijajarkan baik dengan aliran global, terutama dalam pelaburan hijau dan digital, menjadikannya destinasi menarik bagi pihak berkepentingan antarabangsa,” menurutnya.

Berlandaskan asas kukuh yang diletakkan pada 2024, strategi pelaburan infrastruktur Malaysia bersedia untuk meraih manfaat ekonomi jangka masa panjang, meletakkan negara sebagai peserta yang berdaya saing dan mampan di rantau ASEAN pada masa hadapan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pasaran Harta Tanah Kediaman Rekod Lebih 70,000 Transaksi, Tertinggi Dalam Tempoh 10 Tahun – JPPH

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Pasaran harta tanah kediaman negara pada suku ketiga merekodkan lebih 70,000 transaksi, tertinggi dalam tempoh 10 tahun dengan nilai hampir RM29 bilion, peningkatan 2.9 peratus dari segi bilangan dan 1.3 peratus nilai transaksi berbanding tempoh sama pada 2023. 

Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Abdul Razak Yusak berkata subsektor kediaman terus mendominasi aktiviti pasaran, menyumbang lebih 60 peratus bilangan transaksi harta tanah dalam negara.

Menurutnya secara keseluruhan, prestasi pasaran harta tanah Malaysia pada suku ketiga 2024 terus kukuh dengan bilangan dan nilai transaksi masing-masing menokok kepada 112,305 transaksi bernilai RM57.31 bilion. 

Peningkatan marginal dalam bilangan sebanyak 3.1 peratus turut diimbangi dengan kenaikan kecil 0.3 peratus nilai transaksi berbanding tempoh yang sama pada 2023, katanya.

“Prestasi pasaran harta tanah yang kukuh ini disokong oleh pertumbuhan positif bilangan transaksi harta tanah di semua subsektor, pertumbuhan menggalakkan aktiviti pembinaan dan penurunan unit kediaman siap dibina tidak terjual secara konsisten sejak suku pertama 2024,” katanya dalam kenyataan. 

Subsektor Kediaman Kekal Momentum Pertumbuhan

Subsektor kediaman dalam lingkungan harga RM300,000 dan ke bawah menguasai aktiviti pasaran kediaman negara dengan merekodkan 53.4 peratus (37,689 transaksi), diikuti harga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 23.8 peratus (16,790 transaksi) dan RM500,001 ke atas sebanyak 16,041 (22.8 peratus) transaksi. 

Abdul Razak berkata Selangor menyumbang bilangan dan nilai transaksi tertinggi, mendominasi 21.1 peratus bilangan (14,902 transaksi) dan 29.2 peratus nilai (RM8.40 bilion).

Johor di kedudukan kedua tertinggi dengan 17.9 peratus bilangan (12,616 transaksi) dan 20.2 peratus nilai (RM5.81 bilion). 

Mengikut jenis harta, permintaan kekal tertumpu kepada kediaman jenis rumah teres yang mendominasi hampir 42 peratus bilangan transaksi kediaman negara, katanya.

“Inisiatif dan sokongan berterusan kerajaan seperti menambah baik fleksibiliti syarat-syarat permohonan bagi program Malaysia My Second Home (MM2H) dan pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama, menjadi pemangkin pasaran harta tanah yang lebih kukuh,” katanya. 

Sementara itu, prestasi kediaman siap dibina tidak terjual turut memperlihatkan momentum yang lebih baik. 

Unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan marginal, masing-masing 3.0 peratus dan 2.8 peratus dalam bilangan dan nilai kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion berbanding tempoh sama pada suku kedua 2024.

Segmen Aktiviti Pembinaan 

Menurut Abdul Razak, bagi segmen aktiviti pembinaan, harta tanah kediaman menunjukkan prestasi menggalakkan apabila peringkat siap dibina, mula dibina dan penawaran baharu dirancang menunjukkan pertumbuhan positif, masing-masing meningkat 4.6 peratus, 27.6 peratus dan 37.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Bagaimanapun, situasi adalah berbeza dalam segmen pelancaran baharu yang menyaksikan sedikit penurunan pada suku ketiga 2024.

Pelancaran baharu kediaman merekodkan 13,708 unit berbanding 18,974 unit yang direkodkan pada suku kedua 2024, dengan 42.6 peratus merupakan kediaman berharga dalam lingkungan RM500,001 hingga RM1 juta, katanya.

— BERNAMA