Eksport Minyak Sawit Malaysia Ke Asia Tengah Bernilai RM288.23 Juta Pada 2024.

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Malaysia mengeksport 54,665 tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM288.23 juta ke negara Asia Tengah iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan pada 2024.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pihaknya melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) terus komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam membekalkan minyak sawit ke Asia Tengah di samping meningkatkan penguasaan pasaran minyak sawit di Pakistan.

“Asia Tengah merupakan destinasi eksport penting bagi minyak sawit Malaysia. 

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, MPOC selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan minyak sawit Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif di rantau tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai usaha terbaharu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk menjadikan Malaysia sebagai peserta industri terbesar dalam pembekalan minyak kelapa sawit di Asia Tengah dan kembali dominan dalam pengedaran minyak sawit di Pakistan.

Mengenai pasaran minyak sawit di Pakistan, Chan berkata negara itu masih kekal sebagai antara 10 negara pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dengan import sebanyak 860,260 tan pada 2024.

“Kementerian ini memberikan fokus kepada permintaan minyak makan dan lokasi strategik negara itu sebagai pintu masuk ke Asia Tengah,” katanya.

Beliau berkata perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Qasim mengenai kelebihan dalam menggunakan infrastruktur pelabuhan Pakistan untuk memudahkan pengedaran minyak sawit Malaysia ke Asia Tengah telah diadakan.

Perbincangan itu diadakan semasa lawatan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke Karachi, Pakistan pada 9 hingga 11 Jan, 2025, katanya.

Eksport Malaysia ke pasaran Pakistan dijangka kekal antara 18 hingga 25 peratus daripada keseluruhan import minyak sawit di negara itu, bergantung kepada dinamik harga dan keadaan pasaran semasa.

Sementara itu, menjawab soalan Mohd Isam mengenai langkah mengembalikan Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit kepada geran penuh, beliau berkata KPK telah mengetengahkan cadangan itu kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai usaha KPK untuk meneroka pasaran Asia terutama Jepun bagi inovasi penggunaan sawit untuk penghasilan tenaga, Chan berkata KPK akan menyertai ekspo dunia di Osaka, Jepun tahun ini bertujuan meneroka penggunaan sisa biojisim sawit untuk penjanaan elektrik.

“Jepun memang pasaran yang harus kita teroka terutama bagi sisa biojisim untuk menjana elektrik.

“Cuma kita tidak menggalakkan kalau eksport bahan mentah ke Jepun, kita harus menghasilkan bahan bernilai tinggi sebelum dieksport,” katanya.

— BERNAMA

Previous Article

Niaga Hadapan MSM Meneruskan Keuntungan Berikutan Unjuran Output Yang Lemah

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) — Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi pada Khamis untuk hari kedua berturut -turut selepas didorong oleh jangkaan output yang lebih lemah. 

Peniaga minyak sawit David Ng menjelaskan pengukuhan harga turut disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih baik semasa waktu perdagangan Asia. “Kami menjangkakan harga (komoditi) untuk meraih sokongan pada paras RM4,350 dan rintangan pada RM4,480,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani turut melahirkan pandangan yang sama dengan berkata keadaan cuaca buruk di Malaysia dan Indonesia telah menjejaskan pengeluaran serta pengangkutan minyak sawit. Beliau juga menyatakan import minyak sawit India agak rendah dalam tempoh satu dekad pada Januari, meningkatkan jangkaan pembelian yang diperbaharui bagi menokok inventorinya sebelum kedatangan bulan Ramadan.

Pada penutup, kontrak Februari 2025 meningkat sebanyak RM65 kepada RM4,678 satu tan, Mac 2025 naik RM69 kepada RM4,508 dan April 2025 bertambah sebanyak RM69 kepada RM4,403.

Mei 2025 pula menyaksikan kenaikan berjumlah RM64 kepada RM4,314 satu tan, Jun 2025 untung RM57 kepada RM4,237 dan Julai 2025 melonjak RM50 kepada RM4,179.

Jumlah dagangan adalah lebih mantap kepada 80,473 lot berbanding 74,758 lot yang direkodkan semalam, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 223,563 kontrak daripada 221,110 sebelum ini. 

 Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan meningkat sebanyak RM70 kepada RM4,730 satu tan.

— BERNAMA