Prosiding Tertutup Isu Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta Bermula 24 Feb – PAC

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding tertutup berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam pada 24 Februari ini.

Laporan tersebut dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, Jun ini.

Naib Pengerusi PAC Teresa Kok berkata sebanyak 10 prosiding telah dijadualkan untuk isu tersebut yang membabitkan Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Jawatankuasa ini akan memanggil semua pihak berkepentingan dalam industri insurans kesihatan, hospital swasta, MoF, KKM, BNM, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli-ahli akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Pendengaran Awam PAC bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di Parlimen, hari ini. 

Ini merupakan sesi pendengaran awam PAC kali kedua dengan jumlah kehadiran 550 orang, selepas kali pertama diadakan di Pulau Pinang pada 14 Feb lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 730 orang bagi kedua-dua sesi tersebut.

Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata PAC membuat keputusan untuk mengadakan sesi pendengaran awam buat kali pertama dalam sejarah jawatankuasa berkenaan bagi mendengar sendiri maklum balas daripada rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga yang tidak terkawal oleh hospital swasta dan pihak insurans.

“Kenaikan berkenaan juga memberi kesan kepada kesihatan awam apabila klinik dan hospital kerajaan menjadi pilihan kerana orang ramai tidak lagi mampu pergi ke hospital swasta selain membatalkan langganan insurans perbuatan berikutan kenaikan harga premium itu,” katanya.

Justeru, beliau berkata semua keterangan yang diperoleh daripada sesi pendengaran awam berkenaan akan dimasukkan dalam Penyata PAC yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ahli PAC Sim Tze Tzin berkata pihaknya berharap laporan yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat boleh membantu kerajaan membuat polisi atau dasar yang membantu rakyat.

“Kita akan kaji semua prosiding dan akan buat cadangan, syor-syor kepada kerajaan untuk penyelesaian yang komprehensif kepada masalah ini. 

“Jadi cadangan dan syor perlu dikeluarkan dahulu, barulah agensi kerajaan boleh mula buat kerja untuk draf undang-undang yang baharu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata antara isu-isu yang diutarakan dalam sesi pendengaran awam itu ialah caj hospital swasta yang tinggi serta kenaikan kos ubat-ubatan dan peralatan hospital yang mempengaruhi peningkatan bayaran premium insurans secara mendadak.

Selain itu, sesi pendengaran awam berkenaan turut menyuarakan tentang perbezaan caj hospital yang dikenakan terhadap pesakit apabila membuat tuntutan insurans atau pembayaran secara tunai.

“Jadi saya nampak bahawa ada keperluan untuk kita memperbaharui ekosistem ini. Kita berharap untuk menyelesaikan semua prosiding dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Sesi pendengaran awam hari ini dikendalikan Kok bersama Sim dan juga beberapa Ahli Parlimen lain  iaitu Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali.

Pada Disember lepas, BNM meminta semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sehingga akhir 2026.

Langkah itu bagi mengurangkan bebanan terhadap pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.

— BERNAMA

Previous Article

Cari Alternatif Sebelum Tamatkan Insurans Perubatan, Pelan Takaful – PPKM


KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) — Pemegang polisi insurans perubatan atau takaful digesa mempertimbangkan alternatif seperti membuat penyesuaian terhadap polisi atau menyemak semula perlindungan sedia ada sebelum menamatkan polisi.

Presiden Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (PPKM) Alvin Tan berkata, walaupun premium insurans perubatan dan takaful dijangka meningkat antara 40-70 peratus tahun depan, menamatkan polisi insurans atau takaful mungkin dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Ini boleh mewujudkan kesan buruk kewangan jangka panjang, terutama ketika berlaku kecemasan perubatan yang tidak dijangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata PPKM mencadangkan beberapa alternatif untuk membantu pemegang polisi menguruskan kos penjagaan kesihatan swasta tanpa menamatkan perlindungan.

Sebagai contoh, pemegang polisi boleh berbincang dengan pengendali insurans/takaful (ITO) untuk berbincang mengenai penstrukturan semula polisi.

“Pilihan seperti meningkatkan jumlah deduktibel atau memilih struktur pembayaran bersama boleh menjadikan premium lebih mampu milik,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak yang bertanggungjawab menyemak semula perlindungan sedia ada dengan menilai polisi bagi mengenal pasti apa-apa perlindungan tidak perlu atau tidak penting yang boleh disesuaikan.

“Langkah ini boleh membantu mengurangkan jumlah premium dan pada masa sama mengekalkan manfaat penting,” katanya.

Pemegang polisi juga boleh membandingkan pelan yang sama daripada ITO lain untuk mencari pilihan lebih berkesan dari segi kos tanpa mengabaikan perlindungan penting atau memanfaatkan perlindungan yang disediakan majikan.

“Semak sama ada majikan menawarkan insurans perubatan sebagai antara manfaat yang diberikan dalam pekerjaan anda, dan tambah baik perlindungan ini dengan pelan persendirian yang disesuaikan mengikut keperluan khusus anda,” katanya.

Tan turut menggesa pemegang polisi untuk menilai situasi kewangan keseluruhan dan membuat penyesuaian perbelanjaan bagi menampung kenaikan premium di samping mengekalkan perlindungan kesihatan.

Beliau juga menggesa pengawal selia, penyedia penjagaan kesihatan dan ITO untuk bekerjasama ke arah penyelesaian menyeluruh dalam menangani inflasi perubatan yang meningkat.

“Usaha perlu ditumpukan untuk mencipta strategi mampan bagi menguruskan kos penjagaan kesihatan dan kesannya terhadap premium insurans dan takaful, memastikan kemampuan dan kebolehsampaian kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA