Home Ownership Campaign (HOC 2.0): Rahmat Untuk Pemaju Atau Pembeli?

Buat pengetahuan anda, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) merupakan satu usaha sama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) untuk menangani isu pemilikan hartanah dan lambakan hartanah tidak terjual di Malaysia yang semakin meruncing.

Ada yang kata Kempen Pemilikan Rumah (HOC) ini sebenarnya merupakan inisiatif Kerajaan untuk bantu pemaju hartanah jual semula unit kediaman mereka yang berjumlah berbilion ringgit yang kini dalam bentuk batu dan simen.

Sebenarnya, andaian ini kurang tepat kerana validasi dari Kempen Pemilikan Rumah yang lalu telah membantu ramai pembeli rumah pertama untuk membeli rumah mereka dengan pengecualian duti setem beserta diskaun dan rebat dari pemaju hartanah!

Menerusi kempen ini, pembeli rumah mendapat pelbagai manfaat yang luar biasa dan hanya mampu diperoleh sepanjang tempoh HOC ini dijalankan sahaja.

“Tahukah anda, lebih daripada 28,000 unit hartanah pelbagai kategori telah terjual dengan jualan berjumlah RM21 bilion pada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang lalu.”

Dan pada 5 Jun 2020 yang lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek (PENJANA) yang menyaksikan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diperkenalkan semula untuk merancakkan pasaran hartanah.

Ini merupakan intipati dari Kempen Pemilikan Hartanah (HOC) yang bakal dilaksanakan :-

  • Pengecualian Duti Setem – RM300,000 – RM2,500,000.
  • Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah – 3 unit kediaman untuk setiap individu.
  • Nisbah Loan-to-Value (LTV) 70% – Pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000.

Adakah inisiatif yang diperkenalkan Perdana Menteri saat kita sedang bergelut dengan wabak pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonomi terburuk ini satu rahmat untuk pemaju hartanah atau pembeli?

1. Pengecualian Duti Setem

Diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman (SPA & MOT) bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai di antara RM300,000 hingga RM2,500,000.

Pengecualian duti setem ke atas 14 surat cara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman.

Selain itu, pengecualian ini akan berkuat kuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 dan tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10% dari pihak pemaju.

2. Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah

Terbatas kepada warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Pengecualian cukai ini dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.

Terdahulu, kadar cukai keuntungan harta tanah pada tahun pertama sehingga ketiga adalah 30%, 20% pada tahun keempat, 15% pada tahun kelima dan 5% untuk tahun seterusnya.

3. Nisbah Loan-to-Value (LTV) 70%

Untuk pembeli yang ingin membuat pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah.

Akan tetapi, kelonggaran ini hanya dibenarkan sepanjang tempoh Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.

Rahmat Untuk Pemaju Atau Pembeli?

Dengan tiga insentif ini, bakal pembeli hartanah seolah – olah mendapat rahmat kerana kini mereka boleh membeli rumah idaman yang berharga RM300,000 sehingga RM2,500,000 tanpa perlu mengeluarkan kos tambahan seperti duti setem dan MOT duti setem yang mampu menjangkau harga RM12,000 untuk hartanah berharga RM550,000.

Ini tidak termasuk diskaun tambahan 10% yang bakal diperoleh pembeli rumah kerana pemaju hartanah diwajibkan memberikan minima 10% diskaun untuk sebarang projek undercon di dalam Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Bakal pembeli rumah yang terlepas sewaktu tempoh Kempen Pemilikan Rumah 2019 yang lalu juga kini boleh menggunakan peluang ini untuk memiliki rumah pertama.

Untuk mereka yang ingin menjual rumah pula, mereka tidak lagi mengeluarkan sebarang cukai tambahan.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan ini adalah waktu yang tepat untuk sebarang proses jual beli rumah.

Kerajaan juga wajar dipuji kerana berani untuk mengambil inisiatif ini di saat pasaran hartanah sedang bergelut dengan kelembapan ekonomi ekoran wabak pandemik COVID-19.

Buat pemaju hartanah pula, diharapkan mereka dapat menjual unit kediaman pada harga sebenar dan tidak melakukan manipulasi harga terhadap bakal pembeli rumah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian